Sunday, August 29, 2010

Bencana di Malaysia

Isu pembuangan bayi.. Sudah jemu barangkali untuk membaca akhbar-akhbar tempatan. Mana tidaknya, setiap hari wartawan melaporkan cerita yang sama. Hari demi hari, kes pembuangan bayi kian meningkat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Bagi sebahagian masyarakat di Malaysia, hanya mampu mengkritik sikap remaja terbabit dan mengeluh dengan apa yang berlaku tanpa memikirkan akar permasalahan. Manakala sebahagian yang lain terasa amat risau dan khuatir dengan remaja zaman kini lantaran para pelaku jenayah buang bayi ini adalah daripada kalangan remaja Islam. Satu jenayah?

Di bawah Akta Kanak-kanak 2001(Child Act) - Akta 611:

- Seksyen 17 - Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga
- Seksyen 46 - Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak
mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang
dibenarkan di bawah kuasa mahkamah

Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code:
Sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun
(Semakan akhir: 12 Oktober 2006)


Sebak terasa apabila mengenangkan akhlak dan kualiti para pemuda hari ini. Statistik kes pembuangan bayi adalah satu bukti bahawa pemuda zaman globalisasi kini sangat rendah akahlaknya. Sangat lemah imannya. Bagaimana mahu memimpin negara jikalau beginilah ‘rupa’ sebenar pemuda Islam kita? Hari ini pemuda atau remaja seolah-olah tiada matlamat hidup dan lebih dahsyat lagi mereka tidak kenal dengan Allah Maha Kuasa. Siapa yang prihatin terhadap isu ini? Kitakah sahabat sekalian?



Prihatin bukan bermaksud kita cuba menyelesaikan perkara secara permukaannya sahaja tetapi lahirkan rasa prihatin dengan pandangan jauh sama ada memandang jauh ke belakang waktu dan juga memandang jauh di hadapan waktu. Maksudnya, kita cuba selidik apakah puncanya isu ini meruncing dan berfikir akan kesannya kepada individu, keluarga, masyarakat, negara dan agama.


Sebahagian mahasiswi KIPSAS apabila ditanya apakah pendirian mereka terhadap isu ini, mereka memberi respon:

1. Faktor didikan. Hal ini berkaitan dengan ibu bapa kerana orang yang paling rapat dan orang yang bertanggungjawab mendidik mereka.

2. Remaja sekarang dihidapi penyakit hedonisme. Hiburan yang melampau. Terlalu asyik dengan keseronokan dunia. Mengejar cinta dunia.

3. Tidak kurang yang mengatakan faktornya adalah daripada media massa dan penyalahgunaan kecanggihan teknologi. Media massa sekarang ini sangat bebas menyiarkan apa-apa sahaja cerita yang sudah pastinya tidak mendatangkan manfaat malah membawa pula pengaruh buruk kepada remaja.

Ketiga-tiganya benar. Mungkin inilah sebahagian daripada punca utamanya. Ibu bapa berperanan penting untuk mencorak kehidupan anaknya sama ada dengan corak keimanan dan ketaqwaan ataupun corak kefasadan dan kejahilan. Mendidik anak-anak bukanlah perkara enteng tetapi ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang sangat berat yang perlu dipikul oleh ibu bapa bagi melahirkan generasi yang terbaik dari segi kualiti iman dan akhlaknya.


Hiburan yang mungkin 'tersalah pilih' oleh segelintir remaja telah menjerumuskan mereka kepada dosa dan kebinasaan. Mereka memilih hiburan untuk seronok semata-mata. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan yang berkata “Hidup untuk enjoy!”. Berhibur tidak salah yang salah ialah cara kita berhibur. Apabila tiada didikan di dalam diri, remaja mudah goyah kerana di dalam diri setiap insan ada nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan sebagaimana firman Allah:


“Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang”
(Surah Yuusuf, 12:53)


Apabila tiada benteng iman yang kuat, diri mudah tunduk kepada nafsu lalu mudah cenderung kepada kebatilan. Apa yang dibuat semuanya mengikut nafsu sehingga tersalah menafsir makna CINTA yang sebenar. Na’uzhubillah.

Tambahan pula apabila berada di dalam negara yang sedang membangun, kecanggihan teknologi dan media massa amat menggoda remaja. Remaja lelaki mahupun perempuan, sentiasa gemar akan gadjet-gadjet terbaru dan semua itu didapati dengan mudah. Penyalahgunaan teknologi juga membinasakan diri remaja. Segala maklumat-maklumat baik dan buruk mudah diperoleh, hanya di hujung jari. 'Maksiat on-line' yang kerap berlaku di mana-mana. Mereka lupa bahawa teknologi digunakan untuk diambil manfaatnya bukan menjerumuskan diri kepada kemungkaran.

Justeru itu sahabat sekalian, apa yang harus kita laksanakan sebagai seorang yang ingin menyambung perjuangan Rasulullah SAW? Jadilah penyelamat umat. Selamatkan para pemuda kita. Kenapa? Hal ini kerana..


“Jika engkau ingin melihat wajah negaramu pada masa akan datang, maka engkau lihatlah anak-anak mudanya sekarang.”
(Syeikh Yusof al-Qaradhawi)


Tidak gentarkah kita? Itu bukan sekadar kata tetapi itu sinergi ungkapan yang penuh dengan penelitian, pengajaran yang dikutip daripada setiap peristiwa jatuh dan bangunnya sesebuah peradaban dan firasat hati yang beracuan iman dan taqwa. Insya-Allah.




Disediakan oleh:
1. Nor Fathiah Binti Rusni
2. Siti Sarah Binti Amijudin
3. Nurul Nagiha Binti Ishak
4. Yusmahanim Binti Mat Yusof
5. Siti Aishah Binti Mohd. Zamri
6. Sharifah Nur Husna Binti Syed Abdul Salam.

KUMPULAN AISYAH

(PROGRAM KEM IHYA' RAMADHAN HELWI 2010)


No comments:

Post a Comment