Tuesday, January 5, 2010

Latar Belakang HELWI KIPSAS


Persatuan Hal Ehwal Wanita Islam KIPSAS adalah sebuah pertubuhan di bawah kelolaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Persatuan yang menggunakan akronim HELWI KIPSAS ini telah ditubuhkan sejak tahun 2005 dan masih aktif menjalankan aktiviti-aktiviti yang direncanakan sepanjang tempoh tersebut sehingga kini.

HELWI secara amnya dibangunkan atas dasar untuk menjaga kemaslihatan siswi-siswi KIPSAS, khususnya yang beragama Islam. Tertubuhnya persatuan ini adalah bagi memastikan proses ta'alim dan tarbiyah berlandaskan keperluan syara' yang dijalankan bergerak seiring. Oleh itu, pelbagai program telah dijalankan bagi memastikan matlamat yang digariskan oleh HELWI terlaksana. Selain untuk menjaga kebajikan siswi-siswi, HELWI juga mempunyai sasaran besar untuk membentuk para muslimah ini menjadi generasi intelektual yang berperibadi solehah.

Membentuk peribadi Muslimah yang solehah bukanlah tugas mudah memandangkan dunia akan terus mendepani aliran-aliran pemikiran baru yang banyak mempengaruhi daya pemikiran penganut agama Islam masa ini. Kebebasan yang tidak bertapis dan kurangnya idol muslimah yang baik untuk dicontohi banyak memberi impak negatif dalam meneladani generasi berpendidikan khususnya para pemudi Muslimah. Permasalahan ini sangat mudah ditemui di mana-mana walaupun dari kalangan mereka yang mempunyai latar belakang berpendidikan agama. Rapuhnya pegangan agama Islam yang sebenar-benarnya banyak menjerumuskan para Muslimah kepada kemaksiatan dan keruntuhan moral.

Fenomena yang mendukacitakan ini walaupun sukar diatasi, masih perlu dibendung agar tidak terus membarah. HELWI mahu menghulurkan tangan untuk sama-sama membentuk dan mendidik hati-hati Muslimah selaku generasi intelektual yang bergelar penuntut di kolej Islam ini agar menjadi Muslimah solehah, hiasan dunia yang diidam-idamkan.

HELWI bagi semester 2009/ 2010 telah merangka beberapa aktiviti khusus untuk tujuan yang disebutkan seperti tazkirah mingguan (Tazkirah An Nisa) yang dijalankan setiap hari Jumaat, menubuhkan blog khas HELWI sebagai alternatif dakwah, penyebaran risalah mingguan (Soutun Nisa'), Mari Mengaji, Nisa' Games dan sebagainya yang masih dalam perangkaan.

Blog ini khusus untuk para pengunjung mengajukan pendapat untuk penambah baikkan perkhidmatan kami. Sokongan semua amat diharapkan dan semoga generasi muslimah intelektual yang solehah dapat direalisasikan!

1 comment: